Isnin, 3 Oktober 2011

WAFATNYA GURUKU IMAM HAMBALI

Guru saya yang saya sayangi, al-Marhum Ustaz Hambali adalah antara tokoh pendidikan yang terkenal di negeri Selangor. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada hari Rabu20 April 2011 selepas Asar. Solat jenazah beliau dilakukan di Masjid Asy Syarif Meru pada pagi Khamis 21 April 2011. Semoga rohnya mendapat rahmat dari Allah SWT.


Berikut adalah petikan biografi beliau dari Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008:

Beliau dilahirkan pada 12 Disember 1931 di Meru, Klang. Ustaz Hj. Hambali Abdul Salam mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Binjai, Meru Klang dari tahun 1938 sehingga 1945. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke Al-Madrasah Al-Junid di Singapura antara tahun 1951 hingga 1945 atas sokongan kuat daripada gurunya yang dapat mengesan kepetahan beliau berkomunikasi dalam bahasa Arab. Pada sekitar tahun 1982 hingga 1986 beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang pengajian Islam.

Beliau merupakan anak didik Syeikh Ustaz Mahmud Arif Al-Bukhari yang terkenal itu sekitar 1948 hingga 1950 di Marthail ’Ulum yang kemudian dikenali sebagai Kolej Islam Klang. Selain daripada itu, beliau juga sempat berguru dengan Ustaz Ahmad Mohammad Sonhaji, Ustaz Abdul Hakim Azhari (abang kepada Dato’ Haji Hassan Azhari) serta Dato Haji Hassan Azhari sendiri dan Dato’ Syeikh Ismail yang mengajarTalaqqi Musyafahat sehingga beliau berjaya mendapat sijil pengiktirafan Syaikhul Maqari’ sebagai ijazah sanad.

Ustaz Hj. Hambali telah memulakan tugas sebagai guru agama pada tahun 1954 di Sekolah Hishamuddin Kampung Jawa Klang. Setelah mencurahkan bakti dalam mendidik anak watan, beliau beralih kerjaya sebagai kerani kepada dua orang Nazir di Klang iaitu Ustaz Ali Abu Bakar dan Ustaz Ismail Mohammad pada tahun 1958. Pada tahun 1974, Ustaz Hj Hambali kembali bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Agama Klang dan Sekolah Menengah Agama Rendah Hishamuddin sehingga penghujung 1981 serta memegang jawatan sebagai guru penolong kanan. Beliau mengakhiri perkhidmatan dalam dunia pendidikan sebagai guru besar di Sekolah Menengah Agama Jeram yang mana beliau merupakan pengasas sekolah tersebut.

Selain aktif dalam bidang pendidikan, Ustaz Hj. Hambali juga bergiat aktif dalam kegiatan berdakwah. Beliau banyak menghabiskan masa dengan menyampaikan syarahan agama, menjalankan pelbagai kelas pengajaran agama dan mengajar tilawah secara talaqqi. Beliau merupakan panel hakim Majlis Tilawah peringkat mukim, daerah dan negeri serta Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat daerah dan negeri. Beliau juga merupakan Imam Besar dan Nazir Masjid Al-Syarif, Meru, Klang (1991 - 1998).

Ustaz Hj. Hambali Abdul Salam telah mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Kalsom binti Paidi dan telah dikurniakan seramai 7 orang cahayamata yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 4 orang perempuan yang berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing. Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Selangor (1995) dan dikurniakan pelbagai pingat, serta penerima Anugerah Kehormat Konvokesyen Keenam Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (2003).

Syukur kepada Allah saya sempat bertalaqqi al-Quran secara individu dari beliau dari 7 Ogos 1998 sehingga saya khatam pada 24 Mac 2000 di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya Selangor dan beliau mengijazahkan saya sanad bacaan Al-Quran Thariq Riwayat Hafs Qiraat 'Ashim Thariq al-Syathibiyyah dan Thariq Rawdhah Al-Huffadz. Kehilangannya beliau amat saya rasakan kerana beliaulah yang mengajak saya menetap di Meru untuk menemani beliau. Sungguh sayu hati saya setiap kali hari Jumaat, kerana beliau biasa khatam al-Quran sebelum khatib naik ke mimbar, dan kali terakhir saya berbual dan memimpin beliau untuk solat Jumaat di masjid As-Syarif. Ya Allah ampunilah dosa-dosa guruku, terangilah kuburnya, luaskanlah kuburnya seluas-luasnya. Amin ya Rabbal 'alamin. Berilah aku kekuatan untuk meneruskan usaha beliau mengajarkan al-Quran hingga ke nafasku yang terakhir.

رحمه الله تعالى