Isnin, 18 April 2011

SANAD BACAAN AL-QURAN

Sanad ialah sandaran. Sanad bacaan al-Quran ialah sandaran bagi bacaan Al-Quran yang diamalkan oleh seseorang setelah ia bertalaqqi secara musyafahah dari guru yang sanadnya bersambung sampai kepada Rasulullah s.a.w. Bahkan sanad merupakan salah satu rukun bacaan Al-Quran yang sahih. Maksudnya bacaan Al-Quran yang diambil dari guru yang bukan ahlinya maka bacaan al-Quran dibimbangi tidak sahih.

Contohnya, saya mengambil bacaan al-Quran dari guru saya dan beliau dari gurunya yang mengambil dari gurunya yang mana proses pengambilan bacaan ini berterusan sambung-menyambung sampai kepada Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah dalam ijazah sanad saya yang pertama, nama saya adalah orang yang ke-44 dari Rasulullah manakala dalam ijazah sanad yang kedua pula, nama saya adalah orang yang ke-41 dari Rasulullah s.a.w.

Penganugerahan ijazah sanad bacaan adalah ketat bukan semua murid yang bertalaqqi akan menerima ijazah sanad tersebut. Banyak aspek yang perlu diteliti kerana ia merupakan amanah yang wajib dijaga agar tidak disalahgunakan kerana ia melibatkan ulama-ulama al-Quran yang solihin, wara' dan mulia. Bukan setakat boleh membaca al-Quran sahaja bahkan dilihat dari sudut kemampuan mengamal, mengajar dan akhlaknya tidak buruk. oleh sebab itu ijazah sanad tidak boleh diberikan secara sewenang-wenangnya. Sekurang-kurangnya mereka yang khatam bertalaqqi dari saya akan menerima ijazah 'ammah sahaja sebagai tanda perakuan bahawa ia pernah belajar al-Quran dari saya. Begitulah antara maksud nasihat guru-guru saya. Wallahu a'lam.

19 April 2011 jam 10.00 pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan