Rabu, 20 April 2011

IMAM HAMBALI KEMBALI KE RAHMATULLAH

Tanggal 20hb. April 2011 pada jam 4.20 petang guru saya yang tersayang telah dijemput menghadap Allah di rumah beliau di Meru Kalang. Beliau yang dimaksudkan ialah al-Marhum al-Fadhil al-Ustaz Hj. Mohd. Hambali bin Abd. Salam.

Beliau adalah satu-satunya guru Al-Quran saya yang paling dekat dengan saya dari sudut jarak kediaman. Beliaulah juga yang menyuruh kami sekeluarga menetap di Meru. Beliau mengembuskan nafasnya yang terakhir sebaik sahaja azan Asar dilaungkan di Masjid As-Syarif Pekan Meru pada petang Rabu 20hb.April 2011. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Islam Meru. Dianggarkan seramai 900 orang jemaah telah menyempurnakan solat jenazah di Masjid Asy-Syarif Meru.

Beliau yang dilahirkan pada 12.12.1931 adalah salah seorang anak murid al-Marhum Fadhilah al-Syaikh Ismail Tamim bin Abd. Aziz al-Bantaniy al-Makkiy imam di Makkah dan syaikh al-Maqari' Negeri Selangor dan Tan Sri Hj.Hassan bin Azhari. Pada tahun 1995, 2003 dan 2006 beliau menerima Anugerah Tokoh Guru, Pendidik dan Imam Masjid Negeri Selangor. Alhamdulillah saya sempat khatam bertalaqqi al-Quran dari beliau dan diijazahkan sanad qiraat al-Quran yang bersambung sampai ke Rasulullah s.a.w.

Saya secara peribadi menganggap beliau seperti ayah sendiri. dengan panggilan abah. Saya mengenali beliau sejak tahun 1994 iaitu ketika beliau bertugas sebagai imam di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya, manakala saya pulang bertugas sebagai guru agama JAIS di sekolah agama di masjid tersebut.Terlalu banyak kenangan manis bersama beliau dan salah satunya beliau pernah menyuruh saya datang temuduga untuk jawatan imam di masjid Darul Ehsan Subang Jaya iaitu untuk menggantikan beliau sebab beliau mahu bertugas sebagai imam di Masjid As-Syarif Meru. Namun cadangan beliau saya tolak dengan baik dengan alasan saya masih bujang ketika itu.

Di antara perkara yang amat saya pasti ialah boleh dikatakan beliau membaca al-Quran setiap hari dan pernah beberapa kali khatam al-Quran setiap hari Jumaat sebelum masuk waktu solat Jumaat ( khatam dalam tempoh satu minggu ). Sehingga ada makmum yang terdengar-dengar suaranya membaca al-Quran sedang beliau tiada di masjid Darul Ehsan pada saat itu.

Beliau seorang yang sangat rajin menuntut ilmu meskipun telah banyak ilmunya dan telah menjadi salah seorang hakim untuk majlis tilawah al-Quran peringkat negeri Selangor. Beliau seorang yang alim, berakhlak mulia, tawaddhu' dan dermawan. Kali terakhir saya bertemu beliau selepas solat fardhu Jumaat, beliau minta saya pimpin beliau berjalan sebab beliau uzur.

Banyak nasihat beliau kepada saya, salah satunya agar saya terus menabur bakti mengajarkan al-Quran kepada sesiapa sahaja dan bergaul dengan semua tanpa mengira fahaman politik.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa guruku Mohd.Hambali bin Abd.Salam dan tempatkanlah ruhnya di dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang mendapat keredhaan-Mu, amin ya Rabbal 'alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan