Ahad, 8 Mei 2011

SEBUTAN HURUF TA DAN KAF

Perkara yang mula-mula wajib diketahui oleh mereka yang mahu mempelajari bacaan al-Quran ialah makhraj huruf dan sifat-sifatnya agar bacaan mereka fasih menurut sebutan orang-orang Arab yang arif dalam bidang bacaan al-Quran.

Banyak pembaca al-Quran melakukan kesilapan dari sudut sebutan semasa menyebut huruf Ta dan Kaf terutamanya ketika huruf-huruf tersebut mati. Oleh sebab ramai pembaca al-Quran yang melakukan kesilapan tersebut, maka al-Imam Muhammad al-Jazariy, seorang pakar Tajwid memberi peringatan berikut;

وَرَاعَ شِدَّةَ بِكَافٍ وَبِتَا كَشِرْكِكُمْ وَتَتَوَفَّى فِتْنَتَا

“ Dan jagalah (pelihara) betul-betul olehmu akan sifat Syiddah yang ada pada huruf Kaf dan Ta, seperti yang terdapat pada kalimah شِرْكِكُمْ , تَتَوَفَّى, dan فِتْنَتَا.


1) Huruf Kaf keluar dari pangkal lidah di hadapan sedikit dari makhraj huruf Qaf. Salah satu sifatnya ialah Hams iaitu angin terlepas keluar semasa menyebutnya. Jadi, Kaf ialah huruf Mahmusah ( keluar angin semasa keluar dari makhrajnya). Lihat contoh di atas.

2. Huruf Ta' keluar dari hujung lidah yang ditekan pada gusi gigi hadapan sebelah atas. Salah satu sifatnya ialah Hams iaitu angin terlepas keluar semasa menyebutnya. Jadi, Ta' juga ialah huruf Mahmusah ( ada angin keluar semasa keluar dari makhrajnya). Lihat contoh di atas.

Perhatian;

Ada pembaca al-Quran menyebut huruf Ta dengan mengeluarkan satu suara desiran dengan alasan huruf Ta bersifat Hams sehingga menyerupai sebutan huruf Sin mati. Ini kefahaman yang SALAH. Sebenarnya huruf Ta memang ada Hams tetapi bunyi Ta sakinah tidak menyerupai Sin sakinah sebab bunyi desiran adalah disebabkan sifat Shafir yang hanya ada pada 3 huruf iaitu huruf Sin, Zai dan Shad. Sebab itu, kita perlu tahu perbezaan antara sifat Hams dan Shafir. Angin memang terlepas semasa menyebut huruf Ta dan Kaf ketika kedua-dua sakinah tetapi angin yang keluar sedikit, dan tanpa suara desiran. Justeru, dengarkanlah bacaan qari yang terkenal dari sudut Tajwid dan ketelitiannya semasa membaca al-Quran. Tan Sri Hj. Hassan bin Hj. Azhari pernah menyuruh saya mendengarkan betul-betul bacaan al-Quran yang disampaikan oleh al-Marhum Sheikh Mahmud Khalil al-Hushariy. Beliau qari yang terkenal di seluruh dunia dan terkenal dari sudut ketelitian dalam hukum-hukum Tajwid.

Wallahu a'lam bissowab.



1 ulasan:

  1. Ta, kaf tidak berdesir kerana sifat shiddah. Sin berdesir kerana bersifat rakhawah/sofir. Sifat hamas ialah pergerakan nafas atau angin semasa menyebut huruf

    BalasPadam