Isnin, 2 Mei 2011

ADAB MENUNTUT DAN MENGAJAR ILMU

ADAB-ADAB MURID

Adab-adab murid ada banyak dan antara adab-adab tersebut ialah;

1. Ikhlas kerana Allah. Belajar bukan untuk kepentingan duniawi tetapi sebagai bekalan untuk akhirat demi mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.

2. Sentiasa merendahkan diri kepada guru dan bersopan santun dengannya meskipun gurunya jauh lebih muda, kurang masyhur dan sebagainya.

3. Belajar dari guru yang ahli dan diyakini kebenaran ilmunya.

4. Bersungguh-sungguhnya mendalami ilmu menurut kesanggupan dan sentiasa prihatin terhadap pelajaran.

5. Hadir di hadapan guru dan sebaik-baiknya murid yang mendatangi guru, bukan guru yang mendatangi murid. Namun, jika sebaliknya yang terjadi maka murid hendaklah lebih menghargai segala susah dan payah gurunya kerana sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgitnya demi menyampaikan ilmu kepada murid-murinya.

6. Jika pengajian diadakan di rumah gurunya maka hendaklah diketahui masa yang sesuai dan pulang seberapa segera jika gurunya mempunyai urusan yang perlu dilaksanakan untuk keluarganya dan lain-lain.

7. Tidak menyebut nama-nama guru yang lain di hadapan gurunya seperti bertanyakan sesuatu yang berkaitan dengan ilmu atau hukum dengan niat untuk menguji ilmu gurunya atau untuk memberitahu bahawa ada guru lain yang lebih baik daripada gurunya.

8. Berhati-hati semasa berkata agar tidak menyinggung perasaan gurunya. Dan berlapang dadalah jika ditegur oleh gurunya kerana teguran guru itu untuk kebaikan.

9. Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan gurunya.

10. Mengambil berat akan kebajikan gurunya dan menziarahinya ketika ia sakit.

ADAB-ADAB GURU

Adab-adab guru ada banyak dan antara adab-adab tersebut ialah;

1. Ikhlas kerana Allah semata-mata mengharapkan redha daripada-Nya.

2. Sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik dari sudut tutur kata, perbuatan dan penampilan diri.

3. Menjauhi perasaan berbangga dengan bilangan anak murid yang ramai.

4. Tidak benci muridnya belajar dari guru yang lain. Bahkan ia perlu digalakkan agar bertambah ilmu muridnya.

5. Sentiasa berlemah lembut terhadap muridnya.

6. Menggalakkan muridnya melakukan kebaikan dan menjauhi larangan Allah.

7. Tidak malu untuk berkata “ saya tidak tahu” jika ditanya murid tentang sesuatu perkara yang ia tidak memiliki ilmu tentangnya.

8. Menyampaikan ilmu mengikut kemampuan dan sesuai dengan tahap kebolehan murid.

9. Mendahulukan murid yang dating dahulu dan sebaliknya serta prihatin terhadap pelajarannya.

10. Tidak menolak murid yang ingin menuntut ilmu darinya dengan alasan hatinya tidak ikhlas. wallahu a'lam



Tiada ulasan:

Catat Ulasan