Isnin, 2 Mei 2011

MALAIKAT YANG MASUK SEBELUM MUNKAR DAN NAKIR

Diriwayatkan dari ‘Abdillah bin Salam, masuklah malaikat kepada mayat sebelum Munkar dan Nakir masuk. Mukanya bersinar seperti matahari, namanya adalah al-Rumman. Ia masuk menemui mayat lalu duduk dan berkata kepada mayat: “ Tulislah apa yang telah kamu lakukan dari kebaikan dan kejahatan”. Mayat menjawab: “ Dengan apa aku menulis, mana penaku, tintaku dan tempat tintaku?”. Sahut malaikat: “ Ludahmu sebagai tintamu dan penamu adalah jarimu”. Mayat berkata : “Di atas apa aku menulis padahal aku tidak punya buku…?” Dalam sabda Nabi s.a.w: “ Dan malaikat itu memotong tali kafan mayat itu, dan sesobek kafan diberikan kepadanya sambil berkata: “ Inilah bukumu! Maka tulislah!”. Kemudian mayat itu menulis apayang telah dilakukan di dunia dari sudut kebaikan. Apabila sampai pada kejahatan ia merasa malu untuk menulisnya. Berkatalah malaikat: Wahai orang yang salah, kenapa kamu tidak malu terhadap Zat yang menciptakan kamu ( Tuhanmu ) sewaktu kamu melakukan perbuatan keji di dunia dahulu, dan baharu sekarang kamu merasa malu terhadap aku?”.

Lantas malaikat mengangkat tonggak pemukul dan memukulnya, maka berkatalah seorang hamba itu: “ Angkatlah dariku sehingga aku dapat menulisnya”. Maka ia menulis seluruh kebaikan dan keburukannya, lalu malaikat memerintahkan ia melipat dan mengecapnya. Mayat berkata: “ Dengan apa aku mengecap padahal aku tidak punya cap?”. Sahut malaikat: “ Kamu cap dengan kukumu”. Lalu ia memberikan cap dengan kukunya dan mengalungkan pada lehernya sampai hari Kiamat sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 13 yang terjemahannya;

Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya Kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya)”.

Setelah itu lalu masuklah Munkar dan Nakir seperti itu juga dan jika melihat ahli maksiat dalam bukunya pada hari Kiamat maka sewaktu Allah memerintahkan kepadanya untuk membacanya ia cuma membaca kebaikan-kebaikannya sahaja. Manakala sampai pada keburukannya ia diam. Maka Allah berfirman: “ Mengapa tidak kamu baca?”. Ia menjawab: “ Aku malu kepada-Mu”. Allah berkata lagi: “ Mengapa kamu tidak malu di dunia, dan sekarang kamu baru merasa malu kepada-Ku?”. Akhirnya seorang hamba itu merasa menyesal, namun sesal kemudian tak berguna. Allah s.w.t berfirman sebagaimana yang dalam surah Al-Haqqah ayat 30-31 yang terjemahannya:

(lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): " Tangkaplah orang yang berdosa itu dan belenggulah dia. "Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim”.

Pada hakikatnya tiada seorang manusia yang tidak punya dosa dalam hidup ini. Justeru, manusia yang baik bukan mereka yang tidak pernah melakukan dosa, tetapi manusia yang baik adalah mereka yang segera bertaubat kepada Allah sebaik sahaja ia menyedari kesilapannya. Urusan taubat bukan urusan orang tua, tetapi urusan setiap makhluk yang bernama manusia. Sungguh rugi hidup ini jika dilalui tanpa iman dan amal soleh. Lebih malang lagi jika hanya diisi dengan dosa dan maksiat. Bayangkan jika sebentar nanti ajal menjemput kita. Ayuh, segera kita betulkan arah kompas hidup ini agar kita tidak sesat dalam perjalanan pulang ke alam akhirat yang kekal abadi. Dunia hanya sementara, boleh sirna sekelip mata. Jangan sampai kita terpedaya dengan keindahan dan keseronokannya sehingga terlupa kubur sedang menanti kita.

Ya Allah aku redha dengan takdir yang Engkau tentukan untukku, kini aku insaf akan segala keterlanjuranku selama ini, ampunilah dosa-dosaku yang aku sendiri tidak mampu menghitungnya. Astaghfirullahal ‘Azhima wa atuubu ilaihi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan